~Taujihad Srikandi~

Wahai Srikandi :-

" takhallikan dirimu dari terjerumus ke lembah noda serta sikap bermain-main dengan perjuangan.. tahallikan dirimu dengan sifat sebenar seorang wanita yang hidup dengan perjuangan, pengorbanan serta jihad dan kefahaman juga dambaan syahid "

Menyulam Sutera Cinta

Tuesday, February 08, 2011

First Lady Ummah: Seindah peribadi Khadijah


Jika engkau semulia akhlak Rasulullah SAW… daku kan usaha seindah peribadi Khadijah.

Ramai wanita mahu mengaku ‘First Lady’…

Membawa maksud akan amat istimewanya dia disisi seseorang!

Umpamanya seperti Michelle LaVaughn Robinson Obama, adalah wanita pertama keturunan Afrikana-Amerika yang pertama menjadi First Lady of United State. Menjadi kebanggaan orang berkulit hitam yang bermastatutin di dunia Amerika mahupun jalur benua terperosok Afrika. Hadir menemani suami tercinta di persada politik rumah putih USA.

Tapi bagi para muslimah, Michelle Obama bukanlah contoh terbaik untuk kita. Anda punya teladan yang lebih mulia lagi istimewa!

‘First Lady Ummah’ iaitu Saidatina Khadijah Radhiallhu’anha!

Beliau serta para isteri Rasulullah SAW yang lain, membawa peranan sebagai ‘Ummul Mukminin’. Istilah nama yang lebih mulia dari panggilan ‘First Lady’. Ummul Mukminin—Ibu segala orang Mukmin samada lelaki mahupun wanita.

Khadijah RAH bukan hanya istimewa di mata Rasullullah SAW iaitu suaminya yang tercinta tetapi bahkan seluruh ummah ini iaitu Umat Islam sejak dari zaman para sahabat hinggalah ke hari Akhirat. Namanya akan sentiasa disebut-sebut dan dikenang sebagai contoh ikutan serta suri teladan yang sepatutnya bagi para wanita muslimah yang bergelar isteri mahupun ibu.

Mahu meraih gelaran seperti Saidatina Khadijah?

Istimewanya Khadijah bukan kerana harta simpanannya yang berkarung banyaknya. Atau kerana keturunan bangsawan yang dimilikinya, tetapi istimewanya adalah kerana ‘khidmat cemerlangnya’ sebagai seorang isteri kepada lelaki paling mulia di dunia ini iaitu Rasulullah SAW!

Amat jauh berbeza dengan wanita-wanita yang kononnya dewasa ini memegang gelaran sebagai ‘first lady’.. Jika kita tenung dan renung, mereka digelar ‘first lady’ hanya-sanya kerana menjadi isteri kepada seseorang yang berharta, berkuasa ataupun punya nama semata-mata!

Sedangkan Rasulullah SAW?

Lelaki mulia yang tidurnya pada pelepah kurma. Berselimutkan kulit kambing yang apabila ditarik ke atas terbukalah kaki baginda dan bila ditarik ke bawah maka terdedahlah bahagian atas badan Rasulullah SAW yang mulia… Betapa tidak berhartanya suami kepada Khadijah Radhiallahu ‘anha!

Ibn Abbas menceritakan tentang Saidatina Khadijah. Diriwayatkan pada suatu hari Rasulullah SAW membuat garis di atas tanah, baginda pun kemudian bertanya kepada para sahabat: “Adakah kamu sekalian mengetahui mengenai ini?” Sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Baginda pun bersabda: “Sebaik-baik wanita di dunia ini ada empat orang iaitu Maryam Binti Imran, Asiah puteri Muzahim (isteri Firaun), Khadijah Binti Khuwailid dan Fatimah Binti Muhammad.”

Hadirnya sang khadijah sebagai pelengkap kepada ‘Bahtera Dakwah’ Rasulullah SAW.

Sepanjang hidup bersama Rasulullah, Siti Khadijah setia setiap masa menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan baginda.

Sekiranya Baginda khusyuk bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga Rasulullah pulang.

Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam sekecil-kecil perkara kegiatan peribadatan Rasulullah, Khadijah RAH pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wudhu’ sekalipun.

Kecintaan Siti Khadijah bukanlah sekadar kecintaan ‘biasa’ kepada suami, sebaliknya jelas berlandaskan keyakinan ‘luar biasa’ terhadap keesaan serta janji Allah SWT.

Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredhaan Allah. Allah Maha Adil dalam memberi rahmatNya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan. Di dunia pun Allah dah berikan ‘anugerah’ ummul mukminin dan Radhiallahu ‘anha kepadanya…

Saidatina Aisyah pernah menceritakan betapa cemburunya beliau kepada Saidatina Khadijah.

Direkodkan dalam sebuah hadis yang panjang:

“Belum pernah aku cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah SAW sebagaimana cemburunya aku kepada Khadijah, padahal aku tidak pernah melihatnya. Tetapi Rasulullah SAW selalu menyebut-nyebut namanya, bahkan adakalanya menyembelih kambing dan diberikannya kepada sahabat-sahabat Khadijah.

Pernah aku berkata, “Bukankah Khadijah itu seorang wanita tua? Bukankah Allah sudah memberikan kepadamu pengganti, isteri yang lebih muda dan baik daripadanya?”.

Lalu Rasulullah SAW menyebut,

Tidak! Demi Allah ! Dia (Allah) tidak memberikan seorang pengganti yang lebih baik daripadanya. Dia (Khadijah) telah beriman kepadaku pada saat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkan ajaran yang aku bawa di saat orang-orang mendustakanku.

Khadijah membantuku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika orang-orang menahan hartanya dariku dan Allah mengurniakanku beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak diberikan oleh isteri-isteri yang lain”—Hadis Riwayat Imam Ahmad, Sila rujuk Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar.




nota tangan: Jika engkau semulia akhlak Rasulullah SAW… daku kan usaha seindah peribadi Khadijah..Ameen..



3 comments:

miska said...

perkongsian yang baik ukhti....
indahnya....
sungguh..bahagia la para wanita seandainya berakhlakkan spt saidatina khadijah....

Inspirasi Hati said...

Siti Khadijah...Mujahidah solehah...=)

Asiah yusro said...

bila asrar safiyya mula menulis =)