~Taujihad Srikandi~

Wahai Srikandi :-

" takhallikan dirimu dari terjerumus ke lembah noda serta sikap bermain-main dengan perjuangan.. tahallikan dirimu dengan sifat sebenar seorang wanita yang hidup dengan perjuangan, pengorbanan serta jihad dan kefahaman juga dambaan syahid "

Menyulam Sutera Cinta

Sunday, April 11, 2010

Selamanya Milik-Mu #1


Asrar Insyirah: Aku bukanlah seorang wanita yang memiliki harta bertimbun, bukan juga seorang yang mempunyai paras wajah yang anggun jelita bak bidadari, jauh sekali bersusur galurkan keturunan yang dihormati dan disegani. Apa yang ada pada diriku hanyalah agama yang menjadi pegangan dan panduan hidup untuk aku terus gah berdiri di muka bumi Allah ini. Maka milikilah hatiku dengan izin Allah, milikilah cintaku keranaNya, milikilah diriku kerana agamaNya dan milikilah jiwaku keranaNya.

Lagu Sami Yusuf-Asma Allah menemani Asrar Insyirah malam itu yang tekun menelaah nota kuliah pagi tadi. Roommate di sebelah yang sudah pun terlena dijeling sekilas. Dia tersenyum sendiri mengenangkan gelaran yang diberi oleh sahabat-sahabat padanya “burung hantu” kerana suka berjaga sehingga lewat malam. Asrar Insyirah mengerling jam di depannya,jarum jam menunjukkan pukul 1.30 pagi. Sudah menjadi kebiasaan bagi gadis itu yang lebih suka tidur lewat dan bangun awal. Baginya tidur hanyalah sebuah kerehatan, dan sebaik-baik tidur adalah tidur yang berkualiti niat hanya kerana mahukan tenaga untuk menyambung semula tugas sebagai hambaNya walaupun hanya sejam cuma.


Tit...tit..tit...


Handset di sebelahnya berbunyi menandakan mesej baru masuk. Asrar Insyirah berfikir sebentar sebelum mengambil handset tersebut.

‘siapa pulak yang mesej aku malam-malam buta macam ni?’ detik hatinya.

Asrar Insyirah mencapai handset tersebut. Tertera nama Amir Furqan. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembus perlahan. Mesej rayuan Furqan menagih cintanya tidak pernah putus. Walau berkali-kali ditegaskan tidak ada cinta baginya selain buat seorang suami yang halal untuk dirinya tapi semakin pula dia diburu. Iman wanitanya memberontak. Ke mana hilangnya sensitiviti Furqan terhadap agama menghantar mesej kepada seorang wanita yang haram baginya lewat malam sebegini. Sedangkan setahu dia Furqan merupakan seorang pimpinan dalam sebuah persatuan gerak kerja islamik di kampusnya sendiri. Cepat-cepat Asrar Insyirah menekan punat delete. Istighfar memenuhi ruang hatinya cuba mengawal rasa antara marah dan sedih. Marah kerana seorang aktivis dakwah sepertinya kurang peka pada hal-hal sebegini. Sedih kerana seorang mujahid agama tewas hanya kerana cinta terhadap makhlukNya yang lemah lagi hina ini.

Malas memikirkannya Asrar Insyirah berlalu ke bilik air. Mahu mengambil wudhu sebelum tidur. Diusir jauh-jauh bayangan isi mesej sebentar tadi. Setelah itu dia membaca perlahan selembar muka surat ayat-ayat cinta dariNya sebelum merebahkan diri. Sangat menenangkan. Tidurnya lena bertemankan keindahan alunan ayat-ayatNya.

*******************************************************************************************

Usai sahaja menyempurnakan Dhuha pagi itu, Asrar Insyirah bergegas ke kuliah bimbang terlewat. Hari itu merupakan hari jumaat, penghulu segala hari. Teringat janjinya untuk bertemu dengan akhowat yang sangat rapat dengannya, Layyinul Nadrah yang lebih mesra di panggil Kak Lynn. Orangnya semanis namanya. Walaupun berusia lebih tua tiga tahun darinya, tapi keserasian antara mereka menutup jurang tersebut. Apatah lagi mereka berasal dari negeri yang sama, Negeri Di Bawah Bayu. Perkenalan antara dua insan itu bermula di awal kemasukan Asrar Insyirah ke kampus itu. Kemudian bertemu lagi di usrah yang diadakan pada setiap hari jumaat di surau kolej perubatan ketika pelajar lelaki menunaikan solat jumaat. Takdir menentukan mereka berdua berada di halaqah yang sama. Sejak itu ukhuwah yang terbina bertambah erat. Ziarah ke bilik sekadar mengeratkan ukhuwah menjadi tradisi mereka berdua.

Alhamdulillah kuliah berakhir awal hari itu. Asrar Insyirah menjeling jam di tangan lagi lima minit sebelum pukul 11 pagi, desisnya sendiri. Dia melangkah ke luar kelas. Kelihatan Kak Lynn sedang menunggunya di lobi luar kelas dengan laptop pink kesayangannya di tangan. Hari itu merupakan giliran halaqah mereka menyampaikan tazkirah. Dia yang bertanggungjawab untuk menyampaikannya. Mereka memilih tajuk “Seindah Mawar Berduri” sebagai simbolik kepada seorang muslimah sejati. Asrar Insyirah tersenyum memberi salam pada sahabatnya itu sambil menghulur tangan tanda sayang dan hormatnya pada Kak Lynn.

“akak takde kelas ke?” soal Asrar Insyirah memulakan perbualan.

“tadi takde,tapi lepas ni ada. Slide ni pun tak siap lagi. Kalau Asrar siapkan boleh tak?” Kak Lynn memandang wajah mulus Asrar menanti jawapan.

Dia mengangguk setuju. Kemudian diperiksanya slide itu satu persatu. Cukup cantik dan memikat hati. Hasil kerja mereka berdua selama seminggu itu betul-betul memuaskan.

“akak pegilah kelas. Asrar boleh siapkan,lagipun ada sikit je lagi ni. Nanti jumpa kat surau k.. Asrar tunggu kat surau.” Laptop bertukar tangan. Asrar Insyirah kemudian berlalu menuju ke surau kolej.


“Bismillahirrahmanirrahim.. Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu.. (Riwayat Muslim). Kumulakan halaqah cinta ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi alam. Wanita solehah. Idaman semua muslimin di alam maya ini. Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, jadilah wanita yang mampu menyejukkan pandangan dan sayap kiri yang hebat kepada seorang mujahid tika tibanya saat itu, insyaAllah.”

Asrar Insyirah memandang seketika wajah satu persatu pelajar wanita di depannya. Seorang seniornya, Fatin Iman, sedang tersenyum manis memandangnya. Wanita yang cukup dia kagumi kesolehahannya yang juga merupakan sahabat yang rapat dengannya selain Kak Lynn. Dia membalas senyuman itu sebelum meneruskan tazkirah.

“Seindah Mawar Berduri.. Tajuk ini sengaja di pilih sebagai simbolik kepada seorang muslimah sejati. Cantik di pandang tapi bisa melukakan bila didekati kerana duri yang ada padanya.

Wanita ibarat bunga, cantik indahnya pada pandangan mata hanya sementara. Yang kekal hanyalah akhlak semata yang terus menjadi sanjungan kerana akhlak itu adalah bunga diri seorang muslimah sejati.

Seorang muslimah sejati adalah yang memelihara auratnya walau dimana dia berada. Tidak dibiarkan keindahan dirinya menjadi tatapan lelaki yang bukan mahramnya. Dia juga seorang yang memelihara solatnya, menundukkan pandangan matanya dihadapan lelaki yang bukan miliknya.

Malu itu menjadi perhiasan dirinya sesuai dengan sabda baginda Rasulullah saw: Pakaian seorang wanita itu adalah ketaqwaan, hiasannya adalah malu dan hasilnya adalah ilmu. Malu itu perlu bagi seorang wanita, malu untuk melakukan perkara yang Allah tidak redhai. Sifat malu inilah yang meninggikan martabat seorang wanita. Lambang sesuatu yang mahal dan berharga bukan sebarangan dan bukan juga murahan.

Jika ini yang menjadi amalanmu, yang menghiasi peribadimu kelak berbahagialah dirimu ketika menjadi tetamu Allah kerana disambut penuh kasih oleh Bidadari Syurga Ainul Mardhiah. Maka, berakhlaklah dari panduan Rasulmu, contohi dan ikutinya. Turutilah ikhlas Khulafa Ar-Rasyidin pasti dirimu secantik akhlak bidadari syurga. Percayalah itu yang akan lebih membahagiakan hari-harimu. Sejuk mata memandang bercahaya dunia dengan hiasan muslimah solehah sepertimu.

Jadikanlah dirimu seperti permata yang berharga dicelah kaca. Ikuti perintah agama, jauhi larangannya. Sematkan Al- Quran di dada mu dan jangan biarkan dirimu hanyut dengan arus kemodenan tanpa bekalan ilmu didada. Renungilah masa depanmu, tetapkan iman didada. Moga ia menjadi perisai buat dirimu.

Nilai cintamu hanya pada Allah yang satu, kasihi Tuhanmu redhalah Islam menjadi agamamu, pasti tiada kecewa buatmu. Kelak satu hari nanti ada insan yang menantimu. Usah tertipu dengan cinta buta seorang lelaki yang tak halal buatmu. Usahalah untuk mencari cinta yang halal, lagi kekal abadi. Pimpinlah cinta itu ke Taman Firdausi. Di situlah destinasi cinta yang abadi. Tuntunlah cinta itu ke sana kerana cinta itu buta tak mengenal destinasinya.

Cintailah Allah di kala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai Allah. Cintailah kedua ibu bapamu kerana kau akan perolehi keredhaan Allah. Cintailah keluargamu kerana kau tak akan jumpa cinta yang bahagia selain dari cinta keluarga. Janganlah sesekali tangan yang bisa mengoncang dunia ini juga yang mengoncang iman lelaki, nauzubillah. Yang terakhir dariku inginku sampaikan sebuah puisi khas buatmu. Moga dirimu menjadi wanita seindah-indah hiasan di alam fana ini.

Muslimah sejati
Kaulah mawar idaman
Tumbuhmu di taman larangan
Mekarmu dipagari dan dibajai ketaqwaan
Sesucinya hatimu seindah akhlakmu
Diciptakan sebagai seorang wanita
Mewarisi kelembutan wanita solehah
Kembangmu tetap indah
Walau cuma di taman larangan
Menyinarkan nur keimanan
Nan mekar dihiasi mahmudah
Seindah mawar berduri.

Usai sahaja Asrar Insyirah melafazkan ayat terakhir itu, airmatanya menitis sedikit. Kak Lynn yang berperanan sebagai MC menutup majlis tengahari itu dengan sedikit tambahan sebagai peringatan. Tasbih kifarah dan surah al-asr memenuhi setiap ruang hati insan-insan yang hadir tengahari itu. Orang pertama yang datang dan menyalaminya saat itu adalah Safiyyah. Seorang gadis lincah dan cantik. Siapa yang tidak kenal dengan si penari cantik jelita dan molek itu. Tapi sayang kecantikannya itu dinikmati oleh setiap mata lelaki di sekelilingnya. Asrar Insyirah menyambut mesra huluran tangan Safiyyah dan memeluknya erat. Ada kata-kata yang terpacul keluar dari bibir mungil gadis lincah itu yang membuat Asrar merasa sedikit yakin hidayah Allah pasti ada untuknya. Cuma lambat atau cepat biarlah Allah yang tentukan. Hanya doa yang mampu dia titipkan buat gadis itu.

******************************************************************************************

Hari hujung minggu itu Asrar Insyirah manfaatkan sepenuhnya untuk menyiapkan kertas kerja program yang bakal dianjurkan oleh Surau Kolej Kediamannya. Anak panah tetikusnya laju dihalakan ke yahoo mail. Mesej dari Kak Syamimi menyuruhnya mengedit semula kertas kerja yang di hantar ke email nya perlu disiapkan secepat mungkin. Tidak mahu bertangguh. Satu persatu emel baru di dalam inboxnya di teliti. Tiba-tiba matanya menangkap satu emel baru yang menarik hatinya untuk membuka isi emel tersebut. Subjek emel itu mendebarkan hatinya dan menimbulkan segaris persoalan di wajahnya. “Izinkanku memetik bunga di taman larangan”. Tetapi ada yang lebih penting perlu di sudahkan terlebih dahulu. ‘Biarlah dulu’ desis hatinya. Kertas kerja itu perlu di utamakan!.

Usai menyiapkan kertas kerja itu Asrar Insyirah menarik nafas panjang kelegaan. Hatinya melantunkan hamdallah tanda syukurnya kepada Dia yang memberikan segala kemudahan. Fikirannya tiba-tiba teringat kepada emel sebentar tadi. Masih menimbang-nimbang sama ada mahu membukanya ataupun dibiarkan saja. Selang beberapa minit laptop nya diletakkan di ribanya. Kembali membuka inbox email nya tadi.

:- for asrarqalbi@yahoo.com
:- from rayyanmahdi@yahoo.com

Tetikus digerakkan perlahan-lahan untuk meneruskan bacaan di skrin computer.

Assalamualaikum wbt..


Maafkan saya andai kedatangan emel ini mengganggu ketenteraman saudari Asrar Insyirah di sana. Mohon pinjamkan sedikit cuma masa saudari untuk membaca emel ini. Namamu seindah peribadi dirimu. Terus terang saya katakan pertama kali mengenal diri saudari hati saya berbisik mengatakan saudarilah pilihan yang tepat untuk menjadi pendamping di kala susah dan senang.


Firman Allah swt yang bermaksud:


“Dan kahwinkanlah orang yang sendirian antara kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur, ayat 32).


Saya rasa tidak perlu saya perjelaskan dengan lebih lanjut maksud ayat di atas. Anggaplah ini sebagai kiasan dari saya untuk menyunting saudari. Gadis yang ku kagumi kesolehannya yang menjadi rebutan para lelaki di luar sana. Tidak salahkan andai saya mahukan seorang pendamping hidup saya insan solehah seperti saudari. Allah swt juga menganjurkan kepada ummatnya untuk memilih wanita yang solehah untuk menjadi teman hidup. Saya tahu saya bukanlah insan yang layak untuk berdampingan dengan gadis sehebat saudari. Meskipun diriku kaya dengan harta tetapi apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan diri saudari yang kaya dengan keimanan kepadaNya. Terasa kerdilnya diri ini untuk menyunting bunga yang hebat di taman larangan seperti saudari. Tetapi diriku juga insan biasa yang fitrahnya sentiasa mahukan kebaikan. Semoga terselit sedikit ruang buatku di hati saudari. Asrar Insyirah sudikah kiranya dirimu menjadi permaisuri hatiku? Ku tunggu balasan darimu.


Sejuta harapan,


Rayyan Mahdi

Sungguh debaran yang dirasakan oleh Asrar Insyirah kini begitu menyentak jiwa. Emel tersebut di tutup pantas. Letih hatinya dengan ujian cinta makhluk Allah bernama lelaki yang tidak pernah putus. Dibiarkan saja emel itu tanpa balasan. Dia perlu bertemu Rabbnya mengharap petunjuk dan kekuatan.

“Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui betapa hati ini cukup teruji dengan cinta dari makhluk ciptaanMu sendiri.

Ku harapkan kekuatan dan petunjuk dariMu Ya Allah. Peliharlah hati ini dari nista cinta duniawi dan cinta makhlukMu yang tidak Engkau redhai.

Sesungguhnya hanya cinta dan kasih dari Mu yang kudambakan dalam melewati hari-hari ku di muka bumi ini sebagai hamba dan taklifan yang Engkau sandarkan kepada setiap insan iaitu sebagai khalifah.

Pandulah hatiku ini Ya Allah, jangan Engkau biarkan aku tersasar dari landasan kasihMu kerana itulah yang kuharapkan dariMu menjadi hamba yang dikasihiMu.” Rintihan Asrar Insyirah itu disertai dengan linangan airmata. Sesungguhnya hanya Dia Yang Tahu rahsia hati gadis solehah itu. Cintanya milik seorang.

*******************************************************************************************

to be continued...


5 comments:

Asiah yusro said...

MasyaALLAH
bagus sekali...
tak sabar tunggu sambungan :)

ukhti_sue said...

Syukran ukhti..nantikan sambungannye slps exam..=p

Nurul Iman said...

salam

Sue..macam penah dgr je nama Rayyan Mahdi..hmm

tk cr sis n akk ternanti-nanti sambungannya. subhanAllah!

ukhti_sue said...

Wasalam..ye ke?nama sape?hehe..yg kat hujung ade iras2 r ngan nama tettt.......... kn hehe..

InsyaAllah kak, dah ade sambungan tp x publish ag, nak tunggu pas abes exam.. =)

ieyba said...

best2~:)